Kisah LCS bukan isu politik

KAPAL tidak siap namun RM6.083 bilion telah dibayar.

Itu menjadi premis utama yang menjadikan isu perolehan kapal tempur pesisir, Littoral Combatan Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggelegak diperkata ketika ini.

Malah ia bagai menjadi medan perang terbuka kepada empat individu – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Presiden PKR Rafizi Rambli dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagi yang tidak menekuni isu ini secara mendalam, akan ada yang mengheretnya sebagai isu politik. Tidak kurang yang mengklasifikasikannya sebagai penyelewengan dana dan korupsi, ala 1MDB.

Ia tafsir mudah bagi mereka yang sekadar membaca tajuk, tetapi tidak menyelami kandungan cerita sebenar.

Membina kapal, terutama yang lengkap dengan aset pertahanan yang canggih, serta menelan biaya besar bukan mudah. Begitu juga dalam konteks pembekalan kapal generasi baharu berskala hebat seperti LCS.

Isu sebenar dalam projek ini sebenarnya telah dikesan oleh pihak berwewenang dan dilaporkan di Parlimen oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Malah berdasarkan laporan tersebut, sudah nampak jalur kronologi, kesilapan dan siapa yang bertanggungjawab. Justeru tidak perlu lagi untuk menuding jari, kerana sejak Januari lalu, sudah ada yang tidur di dalam lokap apabila ditahan oleh pihak SPRM, berkait isu ini.

Untuk rekod, perolehan enam kapal Peronda Generasi Kedua ini telah diberi kelulusan oleh Kementerian Kewangan untuk dilaksanakan secara rundingan terus dengan nilai kontrak berjumlah RM9.128 bilion.

Tempoh kontrak bermula pada 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023, dengan tujuan meningkatkan keupayaan TLDM dalam melaksanakan pelbagai operasi. Pun begitu, sehingga kini tiada sebuah kapal LCS yang telah siap dibina, hingga membawa kepada beberapa siasatan termasuk oleh jawatankuasa khas, pihak audit serta PAC.

Berdasarkan siasatan tersebut, kemajuan fizikal pembinaan kapal LCS 1 yang berharga RM1.427 bilion kemudian didapati berada pada status 44 peratus siap; LCS 2, RM1.237 bilion (35 peratus); LCS 3, RM1,22 bilion (23 peratus); LCS 4, RM0.890 bilion (27 peratus) dan LCS 5, RM0.710 bilion (16 peratus). LCS 6 yang bernilai RM0.571 bilioin bagaimanapun masih belum dimulakan.

Berdasarkan perancangan awal selepas menerima surat tawaran, serahan LCS 1 seharusnya dilakukan pada April 2019; LCS 2 (Februari 2020); LCS 3 (Mac 2020); LCS 4 (Oktober 2021); LCS 5 (Ogos 2022) dan LCS 3 (Jun 2023). Setelah dua tahun melakukan siasatan termasuk memanggil semua yang terlibat termasuk Panglima Tentera Laut serta Menteri-menteri Pertahanan, akhirnya PAC tampil dengan laporan dan rumusan yang menarik.

Terlalu banyak perkara yang “mencurigakan”, yang kemudian menjadi kendala kepada pembinaan kapal-kapal ini. Ia bermula dengan reka bentuk dan konsep, yang tidak disepakati. Pimpinan TLDM sebagai pengguna akhir, mahukan kapal dengan konsep reka bentuk Sigma dari Belanda, dan ia dipersetujui di peringkat awal. Namun keputusan ini ditukar pada saat akhir kepada konsep Gowind dari Perancis, atas permintaan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), pelaksana projek.

Infografik defencesecurityasia.com

BNS dikatakan memintas pandangan TLDM berkait perkara ini, dengan melakukan konsultansi langsung kepada Kementerian Pertahanan dan Menteri Pertahanan. Ini menyebabkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar ketika itu mengutus sehingga 10 surat teguran, termasuk kepada Perdana Menteri.

Namun pandangan beliau tidak diendahkan hingga beliau mendakwa “something is gravely wrong” (sesuatu yang sangat tidak kena). Pelantikan BNS juga menjadi tanda soal yang besar. Proses due diligence ketika itu gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu, yang sebenarnya berada dalam kedudukan kewangan yang lemah – hingga memiliki hutang lapuk sehingga RM400 juta.

Ini ditambah dengan penyelewengan beberapa individu yang mengawal syarikat berkenaan, yang kemudian didedahkan membuat keputusan memihak ‘syarikat usahasama’ untuk membeli barangan pada harga yang luar biasa tinggi, bagi kegunaan pemasangan peralatan di kapal-kapal terbabit.

Laporan audit forensik yang ditubuh kerajaan kemudianmenemui beberapa petunjuk yang menyaksikan peranan syarikat yang dikenali sebagai CAD dan CED sebagai meragukan, termasuk akaun syarikat yang tidak boleh diakses. Pada masa yang sama, berlaku masalah dengan syarikat pembekal utama atau OEM, hingga mereka terpaksa menghentikan pengeluaran kerana tidak mendapat bayaran.

Difahamkan sehingga laporan dibuat, hutang kepada pembekal menjangkau RM801 juta. Pada masa yang sama berlaku arahan perubahan kerja (VO) secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi oleh beberapa pihak berkepentingan.

Pembayaran yang diterima pula tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya, menyebabkan BNS menghadapi ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion. Ketidakcekapan terus menghantui syarikat ini apabila membeli peralatan terlalu awal, ketika kapal belum pun bersedia.

Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

Ini menyebabkan peralatan tersebut terpaksa disimpan di dalam stor bagi projek LCS dan nilainya dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion.

Berdasarkan perkiraan semasa, 15 peratus daripada barangan ini, termasuk peralatan elektronik tidak lagi sesuai digunakan, dan usang. Lambakan isu ini kemudian menyumbang kepada ketidakupayaan syarikat tersebut untuk menyiapkan projek tersebut.

Susulan laporan tersebut, kerajaan sebenarnya telah mula mengambil tindakan. Ini termasuk menukar kepimpinan syarikat terbabit dan menstruktur semula projek ini. Projek ini bagaimanapun tidak akan dihentikan kerana ia berada di separuh jalan, dan jumlah yang dibelanjakan amat besar.

Seperti kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, projek LCS ini bukan sahaja aset yang penting dan diperlukan ATM, malah ia melibatkan lebih 400 vendor yang membawa implikasi kewangan RM4 bilion. Dan daripada jumlah itu, lebih 100 syarikat yang terlibat adalah milik rakyat Malaysia dengan 90 peratus daripadanya ada hubung kait dengan veteran tentera dan berada di Lumut.

Justeru penerusan projek ini adalah penting bagi menjaga kebajikan mereka yang terlibat, sambil pada masa yang sama memastikan pertahanan negara terus utuh dan kukuh. Kini tarikh baharu yang disasarkan untuk projek ini siap adalah pada 2025.

Dan ia harus dilakukan dengan sebaik mungkin, dengan melibatkan pandangan seluruhnya daripada TLDM sendiri. Harus diingat, hanya TLDM sebagai pengguna akhir yang tahu akan keperluan dan kepentingan mereka. Dan memahami apa yang selesa digunakan untuk memastikan benteng negara terus ampuh.

Dan berdasarkan laporan PAC yang kini boleh diakses umum, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan salah laku dan penyelewengan. Segerakan siasatan dan jatuhkan hukuman tanpa ragu-ragu.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suara Sarawak