Pengarah Penerangan Sarawak, Jaafar Jantan bersama-sama dengan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) kawasan Sematan memacakkan Jalur Gemilang di Dewan Masyarakat Kampung Siru Melayu. (JAPEN)

LUNDU: Semangat patriotisme yang tinggi bukan hanya perlu dizahirkan menerusi bulan kemerdekaan, malah ia perlu sebati dan kekal dalam diri seseorang rakyat Malaysia.

Demikian tegas Pengarah Penerangan Sarawak Jaafar Jantan yang memberi pandangan bahawa semangat patriotik yang tinggi bukan hanya ditunjukkan apabila menjelang 31 Ogos setiap tahun, tetapi ia perlu diteruskan sepanjang masa.

“Orang ramai perlu semarak semangat rasa cinta dan sayang kepada negara kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang seperti mana kita menyayangi keluarga kita,” katanya ketika berucap dalam program Merdeka@Komuniti di Kampung Siru Melayu, Sematan di sini, pagi tadi.

Konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022 (KMKM2022) Merdeka@Komuniti Peringkat Negeri Sarawak memulakan jelajahnya di Kilometer 0.0 (KM0.0) Telok Melano, hari ini dan merupakan program berterusan melepasi 33 daerah di seluruh negeri ini.

Penyerahan Jalur Gemilang oleh Pengarah Penerangan Sarawak, Jaafar Jantan kepada Ketua Kampung Siru Melayu, Sematan Marban Suud di pekarangan dewan masyarakat kampung itu, pagi tadi. (JAPEN)

Kampung Siru Melayu, Sematan merupakan stesen persinggahan Konvoi KMKM2022 kedua selepas pelepasan konvoi di KM0.0 Telok Melano, jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani berkata, program KMKM2022 ini bukan hanya merapatkan hubungan silaturrahim antara rakyat dengan kerajaan malah di antara agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Justeru katanya, sebagai penduduk dan rakyat Malaysia, mereka perlu menunjukkan rasa kesyukuran kerana negara telah merdeka dan tiada unsur penjajahan.

Dalam program berkenaan, Jaafar turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum sekitar kawasan itu sebelum memacakkan bendera di sekeliling dewan serta pelepasan ke stesen persinggahan seterusnya.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi mengelilingi Kampung Telok Melano dengan hebahan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2022 serta diiringi dengan lagu patriotik.

Sebanyak 20 buah kenderaan yang terdiri daripada rombongan Konvoi KMKM2022 Jabatan Penerangan (JaPEN) Malaysia Sarawak, Majlis Daerah Lundu, agensi penguat kuasa Daerah Lundu serta Komuniti Keluarga Malaysia sekitar Telok Melano turut serta di lokasi pertama itu.

Suara Sarawak