DIRAMPAS… Kesemua minyak paket dirampas kerana dipercayai disimpan di premis tidak berlesan.

SARIKEI: Sejumlah 600 kilogram (kg) minyak masak paket 1 kg bernilai RM1,500 yang disimpan di dalam sebuah rumah di Jalan Julutong Barat, Sarikei dirampas dalam serbuan pada tengah malam tadi.

Serbuan oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada jam 12.30 tengah malam itu merampas lebih 30 kotak minyak masak dengan berat 20kg setiap satu.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sarikei, Mohamad Zawawi berkata, rampasan dibuat kerana pemilik premis disyaki menyimpan minyak masak paket di permis kediaman yang tidak dilesenkan.

“Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum serta barang keperluan asas lain mencukupi di pasaran.

“Di samping mengelakkan berlakunya aktiviti penyelewengan melalui penyorokan barang-barang kawalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tegasnya, KPDNHEP mengingatkan mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan, menyorok barang kawalan atau subsidi.

Tambahnya individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

Suara Sarawak