Mancha berkongsi pandangan pada Program Town Hall Daerah Serian, di sini hari ini.

SERIAN: Lapor terus kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku dalam masyarakat, tegas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata.

Menurutnya, usaha membanteras isu berkaitan dadah tidak terletak pada bahu pihak berkuasa sahaja, namun ia memerlukan penglibatan semua pihak.

Katanya, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan melaporkan aktiviti penyalahgunaan dadah agar dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Kita selalu mendengar pepatah jangan jaga tepi kain orang. Dalam usaha memerangi dadah ini kita terpaksa menjaga tepi kain orang, tepi kain saudara mara kita dan tepi kain jiran-jiran untuk membanteras dan memerangi habis-habisan dadah ini.

“Kita jangan lalai dan leka. Kita lalai dari sekarang, takut hendak melapor. Kita takut kesannya seperti pandemik yang amat menggerunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Town Hall Daerah Serian, di Dewan Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Serian, di sini hari ini.

Jelasnya, pihak polis sentiasa melakukan operasi pembanterasan dadah menerusi Op Tapis dan telah menangkap seramai 5,491 orang yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.

Manakala di Bahagian Serian, katanya, seramai 170 orang telah ditangkap dalam tempoh yang sama.

Turut serta pada sesi town hall, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Iskandar Turkee dan Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatrik Unimas Dr Ting Chuong Hok Bernard.

Program turut dihadiri pegawai kanan polis, Residen Bahagian Serian Selamat Jati Yanjah, Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw.

RAKAM KENANGAN…Mancha (lima dari kiri) bersama hadirin Program Town Hall Daerah Serian merakam gambar kenangan.

Suara Sarawak