LUNDU: Sejumlah RM1.126 juta dana keseluruhan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diserahkan kepada 190 penerima di Dewan Undangan Negeri (Dun) Opar di sini, hari ini.

Adun Opar Billy Sujang berkata, kesemua penerima geran terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) setiap kampung, persatuan-persatuan, rumah ibadat termasuk beberapa kelab di sekitar kawasan Opar.

“Bagi setiap JKK kampung, masing-masing akan menerima sebanyak RM6,000, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pula masing-masing menerima RM5,000 manakala rumah ibadat minimum kita berikan sebanyak RM4,000 hingga RM5,000.

“Sementara untuk setiap biro sebanyak RM3,000 geran diberikan, manakala persatuan-persatuan minimum geran sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 mengikut keperluan yang digariskan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran MRP 2022 dan Insentif Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 Dun Opar di Dewan Masyarakat Lundu, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata setiap permohonan geran akan disemak sebaik mungkin bagi memastikan ketelusan dalam pemberian geran kepada penerima.

Selain itu, Billy turut memohon agar semua penerima menghantar laporan aktiviti yang mereka laksanakan menggunakan peruntukan berkenaan sebagai rekod untuk memudahkan penyaluran geran pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan atas sokongan semua masyarakat di Opar yang banyak membantu kemenangan beliau semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) lepas.

“Masih banyak perlu dilaksanakan di peringkat kampung dan disebabkan itu, kita memerlukan sokongan dan bantuan daripada Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat untuk menyampaikan setiap masalah yang berlaku di kampung masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu juga, Billy turut menyampaikan insentif Pelajar Cemerlang SPM 2021 kepada 32 pelajar di kawasan Dun Opar melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10,200.

PENYERAHAN… Billy (kiri) menyerahkan insentif pelajar cemerlang kepada salah seorang penerima.

Suara Sarawak