LUBOK ANTU: Seorang pemuda berusia 21 tahun dilaporkan hilang selepas disyaki lemas semasa mandi di Sungai Nanga Entalau, kira-kira jam 5 petang, semalam.

Kehilangan mangsa, Tay Xin Wei, dilaporkan oleh majikannya, Charles Chok Sau Shin di Balai Polis Sri Aman pada 6.26 petang.

Dalam laporannya, beliau mendakwa dimaklumkan tentang insiden oleh salah seorang pekerjanya, yang melihat Xin Wei lemas semasa mandi di sungai.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi dalam perkembangan lanjut pagi ini memberitahu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula digerakkan.

“Semua pihak yang terlibat dalam operasi berkumpul di Balai Polis Skrang sebelum bersama-sama bergerak menuju ke Nanga Entalau yang memakan masa kira-kira tiga jam.

“Kita akan memfokuskan pencarian dengan menelusuri sungai dalam radius satu kilometer ke hilir menggunakan perahu panjang,” katanya dihubungi, sebentar tadi.

Terdahulu, dua anggota mendapatkan maklumat awal di Balai Polis Skrang, malam tadi.

Perkembangan terkini operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

 

Suara Sarawak