PELIK…Suspek ketika dikerumuni polis yang datang ke tempat kejadian.

SIBU: Tindakan seorang lelaki yang bertindak mencabut dan mengalihkan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Al-Qadim di sini telah mengundang padah apabila dia dicekup pada petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 49 tahun dipercayai gelandangan dan kurang siuman.

Menurutnya, suspek ditahan pada jam 3 petang di sekitar kawasan tanah perkuburan itu.

“Penahanan suspek dibuat susulan laporan polis mengenai kejadian pada jam 1.21 petang hari yang sama oleh seorang lelaki mengenai batu nisan kubur bapanya telah dicabut oleh individu terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkipli menambah penahanan suspek dibuat oleh sepasukan anggota polis di sekitar kawasan tanah perkuburan tersebut, yang juga dipercayai menjadi tempat tinggalnya.

“Siasatan polis di lokasi kejadian mendapati beberapa batu nisan telah dicabut dan dirosakkan malah ada yang diletakkan pada dahan pokok,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

ROSAK…Keadaan beberapa batu nisan kubur berkenaan yang dipercayai dirosakkan suspek.

 

Suara Sarawak