TERTUNDA selama dua tahun akibat penangan Covid-19 menjadikan sambutan Hari Belia tahun ini lebih unik dan menarik.

Ketiadaan penganjurannya bukan bermakna golongan itu dilupakan, sebaliknya ia terus kekal sebagai pengiktirafan negara terhadap sumbangan penting anak muda negara ini.

Malah, sambutan Hari Belia dianggap sebagai platform untuk mengingatkan mereka terhadap peranan masing-masing dalam melakar sejarah pembangunan Malaysia.

Hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara.

Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju masa hadapan negara.

Justeru, setiap perancangan yang dilakukan hari ini bukan sahaja memberi impak kepada belia, sebaliknya akan diwarisi oleh generasi itu sebagai pencetus revolusi masa depan negara.

Tidak dinafikan kewujudan pertubuhan belia memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai medan penyatuan tetapi juga menyerlahkan lagi berperanan sebagai agen perubahan di samping mengelak penglibatan mereka dalam kegiatan yang tidak sihat.

Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 9,766 pertubuhan belia telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668.

Semoga lebih banyak pertubuhan seumpama diwujudkan di serata negara khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Mengambil contoh di bahagian Sarikei, setakat ini hanya terdapat enam pertubuhan belia yang didaftarkan berbanding 80 pertubuhan sukan yang didaftarkan di bawah Akta Pembangunan Sukan.

Ini jelas menuntut komitmen golongan belia supaya lebih proaktif, mengambil peluang dan kemudahan yang disediakan dengan menubuhkan kelab-kelab belia di peringkat daerah, kawasan perumahan dan kampung.

Kebelakangan ini, isu yang membelenggu golongan muda di negara ini adalah kadar pengangguran dalam kalangan belia.

Walau bagaimanapun setakat ini, kadar pengangguran dalam kalangan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun di seluruh negara menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya belia kita mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang disediakan oleh kerajaan.

Tidak sekadar itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang melibatkan golongan belia agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Pelbagai program berkaitan anjuran kerajaan melalui pelbagai agensinya juga memberi peluang kepada belia yang ingin mencari pekerjaan dan membina kerjaya sendiri.

Malah ada sebahagian daripadanya berupaya mengoptimumkan bakat dan kebolehan anak muda, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran serta prospek kerjaya dalam kalangan mereka.

Tanpa sedar, Covid-19 menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi sehingga mereka menjalani kehidupan yang tidak aktif.

Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal golongan ini berada pada tahap sederhana. Justeru, masalah ini wajar ditangani melalui penglibatan mereka dalam kegiatan yang lebih sihat dan bermanfaat.

Suara Sarawak