Milton mengingatkan anak Sarawak khususnya golongan muda agar jangan mudah percaya dengan tawaran kerja lumayan di luar negara.

KUCHING: Dipukul atau dikenakan renjatan elektrik dan dipaksa bekerja sekurang-kurangnya antara 16 ke 18 jam sehari.

Itu seksaan yang dialami rakyat Sarawak yang terperangkap dengan tawaran gaji lumayan di Kemboja, sehingga menjadikan mereka sebagai mangsa pemerdagangan orang oleh sindiket berkenaan.

Ketua Biro Pengaduan Awam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Milton Foo berkata apa yang berlaku ke atas mangsa itu telah dimaklumkan oleh ahli keluarga dan mangsa sendiri kepadanya.

“Sindiket akan mendera mangsa sekiranya mereka tidak memenuhi sasaran jualan dengan menipu orang ramai di seluruh dunia melalui telefon bimbit atau didapati cuba melarikan diri,” katanya pada sidang media di Gala City, Jalan Tun Jugah, di sini hari ini.

Selain itu, katanya keluarga salah seorang mangsa juga telah membayar RM100,000 kepada sindiket untuk membebaskan mangsa yang pulang pada bulan lepas.

Beliau dimaklumkan bahawa wang yang perlu dibayar kepada sindiket untuk membebaskan mangsa adalah berbeza dari satu kumpulan ke satu kumpulan yang lain.

“Sebagai contoh, mangsa yang disebut di sini adalah dalam kumpulan lima.

“Apabila mangsa tiba di lokasi, mereka akan dimasukkan ke dalam kumpulan dua dan jika tidak menunjukkan prestasi yang baik, mereka mungkin dijual kepada sindiket lain (kumpulan tiga) dengan harga yang lebih tinggi.

“Saya juga diberitahu bahawa kumpulan tujuh dan kumpulan lapan berada pada tahap yang sangat berbahaya,” jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai khususnya golongan muda diingatkan agar tidak mudah mempercayai tawaran kerja yang menawarkan gaji lumayan di luar negara.

Tegasnya tawaran kerja yang meragukan terutamanya di Myanmar dan Kemboja adalah pemerdagangan manusia apabila pekerjaan yang ditawarkan berbentuk penipuan dalam talian.

Katanya, tiada istilah meraih pendapatan yang lebih baik di Kemboja berbanding bekerja di Malaysia.

Beliau berkata sebanyak 10 kes yang diterima setakat Jun lepas, dengan hanya empat mangsa telah pulang ke tanah air dari Kemboja.

“Saya secara peribadi berjumpa dengan keluarga mangsa, pasangan dan rakan mereka malah sebilangan mereka menitis air mata di hadapan saya kerana bimbang akan keselamatan mereka di sana.

“Malah saya juga menghubungi mangsa yang terperangkap di Kemboja melalui panggilan Whatsapp, mereka semua dalam keadaan yang terdesak,” katanya.

Suara Sarawak