Mayat Nabil Suhaili, 12, berjaya ditemukan pada hari ketiga SAR di Sungai Sundar, Kampung Tanjong Katong hari ini.

LAWAS : Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang hilang ketika mandi di Sungai Sundar, Kampung Tanjong Katong pada Ahad lalu ditemukan mati lemas, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat Nabil Suhaili dijumpai kira-kira jam 9.28 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 700 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Kaedah pencarian di permukaan sungai dan ‘sweeping’ berjaya menjumpai mangsa.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pengesahan keluarga mangsa dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa dilaporkan hilang ketika mandi bersama-sama lima rakannya di Sungai Sundar kira-kira jam 3.10 petang Ahad lalu.

Susulan itu, operasi SAR digerakkan melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Malaysia dan penduduk kampung.

Suara Sarawak