Mayat lelaki berumur 80 tahun ditemukan terapung di Sungai Satok berhampiran Kampung No 6 di sini, hari ini.

KUCHING: Mayat seorang lelaki warga emas ditemukan terapung di Sungai Satok berhampiran Kampung No 6 di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian telah mengenal pasti identiti si mati iaitu lelaki berbangsa Cina berumur 80 tahun yang dilaporkan hilang keluar dari rumah oleh ahli keluarganya pada 9 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah pemeriksaan awal terhadap badan si mati tidak menemui sebarang kecederaan yang mencurigakan dan keadaan mayat sedang mereput.

Merbin berkata mayat itu juga lengkap berpakaian dan dompet juga ditemui dalam poket seluar bahagian belakang.

Katanya mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Justeru beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.

Suara Sarawak