“BUKAN mengejutkan dan sudah dijangka.” Itu bisikan seorang ahli politik kanan Sarawak berhubung tindakan Adun Batu Lintang, See Chee How mengumumkan tindakannya keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) baru-baru ini.

Chee How kini menjadi Adun Bebas dan sedang meneliti pelbagai pilihan termasuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk dengan kerajaan, bagi menjamin kesejahteraan kawasannya.

Susulan tindakan Chee How itu, Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataannya berkata, Adun Batu Lintang itu perlu mengosongkan kerusinya sesegera mungkin.

“Ia sebagai menghormati terma akujanji dengan PSB, ketika diangkat sebagai calon ketika Pilihan Raya Negeri 2021 yang lalu.”

Untuk rekod, terma tersebut menjadi ‘perkara’ yang hangat diperkatakan kebanyakan calon PSB menjelang PRN Sarawak yang lalu, hingga ramai yang ‘angkat kaki’.

Sebagai orang lama dalam politik Sarawak, tambahan dengan latar belakang sebagai pengamal undang-undang yang kanan di Sarawak, Chee How sudah pasti menyedari perkara itu.

Beliau sudah pasti bersedia untuk menerima ‘surat’ saman’ daripada PSB, dan sudah pasti juga bersedia untuk bertarung di mahkamah jika keadaan memerlukan.

Ya, mahkamah bukan tempat asing baginya kerana ia gelanggang permainannya, sebagai seorang peguam sejak puluhan tahun.

Dan kerana itulah Chee How dalam sidang media kelmarin, enggan menambah luka komen Soon Koh, sambil memahami emosi pemimpin parti PSB itu yang terluka dan kecewa.

“Perkara ini berkemungkinan menjadi kes mahkamah. Jadi saya tidak akan mendedahkan terlalu banyak tentang (komen Soon Koh) itu.

Tetapi apa yang saya boleh katakan, anda semua boleh rujuk artikel 17; fasal 4, fasal 6 dan 7 Perlembagaan Negeri untuk mengetahui tentang perkara itu yang telah termaktub.”

Nyata, sebelum membuat keputusan, Chee How sebagai seorang peguam terlebih dahulu membuat kerja rumah dan mempersiapkan dirinya untuk menghadapi serangan dan ribut yang sudah dijangka.

Beliau juga memahami searifnya perjanjian dan kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini.

Untuk rekod, pada PRN lalu, Chee How yang bertanding atas tiket PSB, memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 93 undi. Beliau mengutip 4,420 undi untuk menewaskan musuh tradisinya, Sih Hua Tong (parti Rakyat Bersatu Sarawak – SUPP) yang sekadar membawa pulang 4,327 undi.

Calon muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cherishe Ng memperoleh 1,823 undi, manakala calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan mendapat 1,570 undi sambil calon Aspirasi, Leong Shaow Tung mendapat 187 undi.

Ia merupakan kali ketiga beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut selepas kali pertama memenanginya pada April, 2011 atas tiket PKR.

Sebelum menyertai politik, Chee How yang berasal dari Kuching merupakan pengamal undang-undang yang mendapat didikan dari University of London.

Secara peribadi, beliau dikenali sebagai seorang yang tidak banyak cakap, mudah tersenyum dan mesra, serta memiliki tutur kata yang lembut.

Beliau juga tidak tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan mahupun memberi komen.

Kerjaya politik Chee How dalam PKR sebenarnya tumbuh mekar hinggalah beliau dipecat pada April 2020, susulan tindakannya menyokong blok Azmin Ali ketika krisis melanda parti tersebut.

Azmin selepas itu terlibat dalam Langkah Sheraton dan keluar parti, manakala Chee How dan rakan baiknya, Baru Bian memilih haluan baharu, dengan menyertai PSB yang baru ditubuhkan.

Chee How dalam sidang medianya kelmarin menegaskan, beliau telah membuat keputusan lebih awal, dan tidak ada kaitan dengan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berhubung Antilompat Parti.

Namun realitinya, itu adalah alasan biasa daripada semua ahli politik yang terlibat dalam aktiviti bertukar parti sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Kita perlu menerima hakikat, senario politik telah berubah dan Chee How membuat keputusan tersebut sekarang bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berkaitan undang-undang jika membuat keputusan lebih lewat.

Chee How mengakui sudah membuat keputusan lebih awal sebelum ini.

Mungkin setelah melihat perahu yang dinaiki terumbang-ambing dan hampir karam, setelah dilambung ombak pada PRN lalu.

Justeru di mana haluan Chee How selepas ini?

Adakah beliau kekal bebas dan tidak menyertai mana-mana parti politik seperti yang didakwanya?

Atau menjadi satu-satunya Adun yang mesra dan boleh bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan Sarawak.

Apa yang diimpikan Chee How itu sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk digapai.

Dalam situasi politik yang tidak menentu pada hari ini, seseorang Adun atau ahli Parlimen perlu bersandar pada parti yang diwakili untuk membolehkannya memberi khidmat yang terbaik kepada kerajaan.

Amat sukar untuknya menabur jasa jika tidak berada dalam blok kerajaan, terutama dalam konteks Sarawak – Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerintah dengan jumlah kerusi yang besar.

Justeru bagaimana boleh beliau memberi khidmat yang baik kepada kawasannya jika bertindak seorang diri, tanpa terlibat dalam sebarang parti?

Ini bukan kali pertama wakil rakyat Bebas membuat keputusan serupa, dan hampir kesemua mereka akan menyertai parti baharu selepas itu.

Oleh itu, apakah pilihan gerak hati Chee How selepas ini?

Kerana berbangsa Cina, beliau sudah pasti tidak akan dapat mengikuti jejak rakan karibnya, Datuk Willie Mongin yang menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)?

Adakah beliau akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang kini diketuai bekas bosnya, Datuk Zuraida Kamaruddin?

Namun Chee How lebih berminat untuk memberi fokus kepada Sarawak, sedangkan PBM lebih kepada fokus nasional, seperti namanya.

Pilihan lain adalah dengan menyertai SUPP. Adakah SUPP dan Datuk Seri Dr Sim Khui Hian dapat membuka pintu kepadanya?

Mungkin juga boleh, jika melihat betapa liatnya usaha untuk menumpaskan Chee How di kerusi yang disandangnya kini.

Atau pilihan terakhir, duduk semeja dengan Datuk Seri Tiong King Sing dalam Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ini juga bukan mustahil selepas melihat berlakunya perubahan dari sudut kerusi tradisi GPS pada PRN yang lalu.

Pilihan terbuka di tangan Chee How dan sesuai dengan namanya See How – melihat yang terbaik untuk masa depan politiknya, dan masa depan kawasannya.

Yang pasti, beliau tidak akan mengalah dengan mudah,

tidak menyahut cabaran Soon Koh untuk mengosongkan kerusi Dun Batu Lintang.

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

Suara Sarawak