KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak menyerahkan bayaran faedah pengurusan jenazah kepada keluarga mendiang Theophilus Oliver Gary,24.

Anak sulung daripada lima beradik itu meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya sekitar jam 8 pagi di Kilometer 11 Kota Samarahan / Tabuan Jaya, 29 Jun lalu.

Bayaran berjumlah RM2,000 itu diserahkan oleh Pengarah Perkeso Sarawak, Philip Sangkan kepada bapa mendiang, Gary Roy Henry, 55, di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

PENYERAHAN… Philip (tiga kanan) menyerahkan cek bayaran faedah pengurusan jenazah kepada Gary Roy (dua kiri). Turut kelihatan, Tan Kai (pertama kanan) dan Kho Teck Wan (pertama kiri).

Menurut Philip, bantuan itu diberikan setelah mendapat maklumat tentang tragedi yang menimpa mendiang melalui media sosial dan keratan akhbar tempatan sebelum ini.

Katanya berdasarkan laporan diperoleh dari media sosial dan akhbar tempatan mengenai kemalangan itu, pasukan Perkeso Sarawak terus bertindak segera mendapatkan butiran kejadian dan mendapati mendiang merupakan pencarum Perkeso.

“Sehubungan itu, kami mencari maklumat mendiang dan ahli keluarganya untuk kita sampaikan bantuan sewajarnya kepada mereka berdasarkan kelayakan mendiang sebagai pencarum,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP hari ini.

Selain itu, Philip berkata ibu bapa mendiang juga akan menerima tuntutan pencen penakat Perkeso bersama dua adik mendiang yang berusia di bawah 21 tahun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,245.04.

Katanya, wang tersebut telah dibayar sejak Jun lalu dan akan dibahagikan kepada ibu bapa dan kedua-dua adik mendiang sehingga mereka mencapai usia 21 tahun atau sehingga melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Manakala untuk ibu bapanya akan menerima bayaran tersebut seumur hidup mereka.

Justeru, Philip menggesa majikan agar memastikan semua pekerja mereka mencarum dengan Perkeso.

“Bagi yang belum mencarum, segeralah berbuat demikian dan dialu-alukan untuk mendaftar di mana-mana pejabat Perkeso di Sarawak supaya memudahkan kami mengambil tindakan sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah memberi insentif sebanyak 80 peratus bagi subsidi caruman tahunan kepada Perkeso.

Jelasnya kerajaan akan membayar kepada perkeso sebanyak RM232 bagi setiap pencarum manakala majikan yang bekerja sendiri akan membayar RM46.60 setiap tahun.

Justeru itu, Philip menggesa agar orang ramai mengambil peluang tersebut dengan segera kerana ia akan ditamatkan pada Disember 2022.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak