SAMSENG…Tindakan suspek ke atas pemilik kenderaan terbabit dalam video yang tersebar semalam.

SIBU: Seorang pemuda berusia 27 tahun ditahan polis selepas bertindak agresif bersenjatakan parang menetak sebuah kenderaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, terdahulu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 10.09 pagi, Selasa.

“Pengadu mengatakan keretanya telah ditetak oleh seorang lelaki (suspek) yang tidak dikenali bertempat di Jalan Upper Lanang.

“Kejadian berpunca kerana pengadu membunyikan hon kenderaannya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Susulan laporan yang dibuat itu, Zulkipli berkata, pada hari yang sama jam lebih kurang 1 petang, sepasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu telah membuat tangkapan terhadap suspek serta turut merampas parang yang digunakannya itu.

“Suspek akan direman pada hari ini di Mahkamah Sibu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan parang serta khianat dengan menetak kenderaan,” tegas beliau.

Sementara itu, video berdurasi selama 40 saat mengenai kejadian itu viral di laman sosial semalam.

Ia turut mendapat perkongsian ramai netizen yang mengecam suspek bertindak sebagai samseng jalanan.

Dalam video itu, jelas suspek memaki hamun pengadu sebelum bertindak memandu keretanya melawan arus untuk mendekati dan menetak kereta pengadu.

Pengadu turut mengundurkan kenderaannya dari terus dirosakkan sebelum suspek melarikan diri dengan melawan arus.

Kejadian yang berlaku di hadapan Pasar Grand Heights (Jalan Upper Lanang) itu turut mencuri tumpuan ramai yang turut berada di pasar tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak