KUCHING: Persatuan Kebudayaan Hakka Malaysia (MHCA) cawangan Sarawak berjaya mencipta satu lagi rekod baharu dengan menampilkan Kostum Singa Hakka Terbesar di Malaysia.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, ia bukan sahaja satu pencapaian besar malah satu platform untuk mendedahkan tentang seni warisan Cina kepada masyarakat luar.

“Kita perlu mengekalkan budaya warisan masing-masing kerana ia adalah sesuatu yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Untuk itu, semua perlu memainkan peranan dalam meneruskan adat dan budaya warisan serta perlu memahaminya dengan lebih mendalam,” katanya.

Wee merakamkan gambar kenangan bersama Kostum Terbesar Singa Hakka di perkarangan MBKS

 

Beliau berkata demikian kepada media sempena catatan rekod baharu Kostum singa Hakka terbesar yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Record, semalam.

Justeru beliau berharap agar masyarakat dan kaum lain akan terus mengikuti dan menyokong Persatuan Kebudayaan Hakka untuk melihat lebih banyak lagi kekayaan budaya Seni Cina.

“Ini adalah untuk membolehkan orang lain memahami budaya kita di samping perlu memberikan lebih banyak kesedaran kepada orang luar.

“Kita perlu meningkatkan lagi prestasi dan perbanyakkan acara seperti ini untuk memberi peluang kepada masyarakat lain mempelajari budaya antara satu sama lain,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama turut menyifatkan bahawa perbezaan budaya di kalangan masyarakat setempat secara tidak langsung telah menyatukan rakyat di Sarawak.

“Selain melalui tarian, kita juga boleh melihat adat dan budaya orang lain melalui sajian makanan dan juga kemahiran.

“Saya berharap kita akan terus mengadakan acara seperti ini dan memberi kesedaran terhadap pentingng budaya kita untuk lebih kerap dipersembahkan kepada kaum lain untuk memahaminya dengan lebih baik,” tambahnya lagi.

Terdahulu, MHCA cawangan Sarawak turut mencatatkan rekod pertamanya pada Januari 2020 dengan mempersembahkan  ‘The most Hakka lion dances’ yang melibatkan 71 Singa Hakka membuat persembahan di City One Mall.

Manakala pada tahun ini mereka telah memecahkan satu lagi rekod dengan menampilkan Kostum Singa Hakka terbesar di Malaysia dengan (tinggi 10.25 kaki x Lebar 7 kaki x Panjang 16 kaki).

 

Suara Sarawak