Minos (dua kanan) menerima cenderamata daripada wakil Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Unimas dalam kunjungan hormat di MPKS, hari ini.

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan bekerjasama dengan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi mencari jalan penyelesaian masalah kemiskinan di kawasan pedalaman Samarahan.

Pengerusi MPKS Datuk Peter Minos berkata, kajian ini berkemungkinan akan dilaksanakan di beberapa kampung terpilih mulai tahun depan.

“Tumpuan utama kajian ini adalah untuk mengetahui sebab-sebab utama masalah kemiskinan di kawasan kampung masih wujud dan melihat jalan penyelesaian yterbaik.

“Kajian ini termasuk menganalisis dan mengambil tahu faktor berkaitan seperti ekonomi, budaya, kekurangan kemudahan asas, peluang pekerjaan, sikap individu serta perkara berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, isu kemiskinan sangat menarik dan relevan kerana ia masih berlarutan sehingga hari ini khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Minos berkata, pihaknya akan bertemu semula dengan Unimas untuk membincangkan perincian cadangan kajian bersama tersebut.

“Kemungkinan besar kajian fizikal dan penyelidikan akan bermula pada awal tahun nanti setelah butiran kajian disusun,” jelasnya.

Pada program itu, Minos turut mengucapkan terima kasih kepada Unimas kerana mengambil inisiatif dan berusaha untuk bekerjasama dengan pihak perbandaran dalam kajian kemiskinan luar bandar ini.

Suara Sarawak