Dr Sim merakam kenangan bersama-sama kakitangan MPP pada sambutan Ulang Tahun MPP ke-26, di sini, malam tadi.

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju membina bangunan pentadbiran baharu untuk Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dengan peruntukan berjumlah RM60 juta.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, bangunan tersebut akan dibina di Batu 12, Semenggok Jalan Kuching-Serian di atas tanah berkeluasan 20 ekar.

“Atas perkhidmatan MPP yang cemerlang, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk meluluskan pembinaan bangunan baharu sebagai tanda menghargai kerja keras kakitangannya selama ini.

“Bangunan baharu ini juga akan menjadi motivasi kepada MPP untuk meneruskan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“Dalam masa yang sama menyediakan persekitaran kerja yang lebih baik untuk seluruh warga kerja MPP,” katanya ketika berucap pada sambutan Ulang Tahun MPP ke-26, di sini, malam tadi.

Menurutnya, MPP merupakan sebuah majlis yang mempunyai tugas sangat mencabar dan berat kerana kawasan pentadbiran sangat besar yang meliputi kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Justeru, inisiatif ini jgua mendukung MPP dalam menghadapi cabaran perubahan demografi dan pertumbuhan penduduk yang pesat di kawasannya, sebagai majlis yang mempunyai penduduk paling ramai di Sarawak,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi MPP Lo Khere Chiang.

Suara Sarawak