INGAT PESANAN…Roziman Ramblie (tengah) memberitahu sesuatu kepada pemainnya pada sesi latihan semalam.

KUCHING: Misi serampang dua mata cuba dipertaruhkan, Nangka United apabila turun berdepan Dudong FC pada aksi suku akhir pertama Liga Bola Sepak Zon Tengah Sarawak 2022 di Padang Bola Sepak Penjara Sibu petang esok.

Cuba untuk mencipta kemenangan selain memastikan lebihan gol dapat diperoleh pada perlawanan itu nanti.

Ketua jurulatih Nangka United, Roziman Ramblie menegaskan, beliau amat mengharapkan pemain dapat menggapai misi tersebut.

“Kemenangan adalah matlamat utama, juga penting memastikan lebihan gol dapat diperoleh sebagai bekalan untuk menghadapi aksi suku akhir kedua seminggu lepas itu,” ujar Roziman kepada Arena Suara Sarawak.

Jurulatih yang semakin meningkat naik kredibilitinya ketika ini mengakui, ia bukan satu tugasan yang mudah.

“Saya percaya tiada laluan mudah buat pemain sepanjang perlawanan petang esok. Namun berharap kesebelasan utama dapat menterjemahkan strategi yang akan diguna pakai,” tegas Roziman.

Dua lagi perlawanan suku akhir pertama berlangsung esok, 7DSC akan menentang Landas selain Machan FC akan menentang Igan FC.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak