KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti menyeru Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan untuk menjadi rakan strategik di Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching.

Mula beroperasi sepenuhnya November tahun ini, CSSC Kuching ini bakal beroperasi di Wisma Hoholim di Jalan Abell, Kuching, di sini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komunit Datuk Seri Fatimah Abdullah

Justeru Menteri KPWK Datuk Seri Fatimah Abdullah menyeru agensi dan individu yang berminat untuk mendaftar diri dengan Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di KPWK.

Beliau berkata, isu dan masalah sosial terlalu kompleks untuk ditangani secara menyeluruh dan memerlukan pendekatan bersepadu, kolaboratif dan holistik dari semua lapisan masyarakat.

“Tidak kira agensi kerajaan, organisasi swasta dan komersial, NGO dan dermawan, kita harus bersama-sama mempunyai semangat tanggungjawab dan tindakan kolektif, untuk menjaga Sarawak demi kesejahteraan sosial yang lebih tinggi.

“Kerjasama dan komitmen ini diharapkan akan terus menyerlah melalui fasiliti atau platform CSSC Kuching yang bakal beroperasi demi kesejahteraan komuniti dan inklusiviti sosial di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Pengoperasian CSSC Kuching di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, projek CSSC Kuching juga adalah manifestasi komitmen Kerajaan GPS terhadap pembangunan seimbang yang mana pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial diberi perhatian yang sewajarnya.

“Ini adalah untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat demi kewujudan yang bermaruah bagi kumpulan terdedah yang terjejas oleh masalah sosial dan krisis tertentu,” katanya.

Selepas pengoperasian CSSC di Kuching, Fatimah berkata CSSC yang akan turut beroperasi di negeri ini adalah di daerah Sri Aman, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Lawas.

Bagaimanapun ketika ini katanya, bahagian Kapit, Sri Aman dan Limbang masih dalam rangka kerja untuk mencari lokasi yang sesuai.

Suara Sarawak