KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana cubaan merompak seorang wanita di sebuah kedai runcit serbaneka, dua tahun lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Faizul Ramli, 24, dari Kampung Sungai Ladong selepas mengaku bersalah semasa perbicaraan kes hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana merompak seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah kedai runcit serbaneka di Jalan Canna, Tabuan Tranquility, sekitar jam 10.55 pagi, 30 Disember 2020.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu (mangsa) merupakan pekerja kedai telah didatangi seorang lelaki menggunakan topi keledar berpura-pura hendak membeli barang.

Lelaki (tertuduh) terbabit tiba-tiba datang ke kaunter lalu terus menarik tudung mangsa sambil meletakkan pisau pemotong kertas ke arah leher mangsa dan mengarahkan mangsa membuka peti wang jualan.

Namun demikian, mangsa berjaya mempertahankan diri dan dia bersama-sama rakannya sempat melarikan diri keluar kedai lalu menjerit meminta tolong daripada orang awam.

Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakkan dan siasatan lanjut.

Berdasarkan laporan tangkapan pihak polis mengenai satu kes curi motosikal pada 8 Mac 2022 membawa kepada penangkapan tertuduh yang sama berkaitan kes rompak yang dilaporkan dua tahun lalu.

Hasil siasatan melalui keterangan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati tertuduh melakukan kesalahan terbabit seperti yang dilaporkan oleh pengadu.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal.

Dia didakwa memiliki harta curi sebuah motosikal jenama Yamaha milik seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun.

Bagi kes terbabit dia didakwa mengikut Sekyen 411 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak