Gambar hiasan

KUCHING: Sepasang kekasih yang terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Tertuduh Wendy Chai Xue Chen, 37, dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Manakala, Ling Kok Liang, 51, dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut kertas pertuduhan bagi setiap mereka, didakwa positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kedua-dua tertuduh didapati mengambil bahan terlarang itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching sekitar jam 1.05 petang, 10 Mac lalu.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Berdasarkan fakta kes, pada 10 Mac lalu, sekitar jam 1.05 petang, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching telah menahan kedua-dua tertuduh kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil awal saringan air kencing tertuduh didapati positif dadah. Kemudian, laporan dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh dua Pegawai Pendakwa iaitu Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana sengaja membunuh kanak-kanak berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Bintawa, di sini, sekitar jam 5 petang, antara 4 Mac dan 7 Mac lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan Majistret Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 9 September depan.

Operasi pencarian Eric bermula 13 Mac lalu di sekitar perairan sungai Muara Tebas juga dihentikan 19 Mac lepas, pada jam 6 petang.

Setakat ini tiada sebarang penemuan mayat kanak-kanak terbabit selepas dilaporkan hilang lebih empat bulan yang lalu.

Suara Sarawak