PDRM kaji semula penukaran anggota bermasalah ke Sabah, Sarawak

KUCHING: Pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula keputusan menukarkan sembilan anggota polis yang terlibat dalam kes peras ugut baru- baru ini ke beberapa balai polis dan bahagian di Sabah dan Sarawak.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak menyatakan perkara itu dimaklumkan oleh PDRM, setelah menyambut saranan Kerajaan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak menyambut baik usaha PDRM untuk menambahkan bilangan anggota untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan demi kesejahteraan rakyat Sarawak, namun kita berharap PDRM menempatkan pegawai dan anggota yang berintegriti tinggi serta bebas dari sebarang siasatan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak juga telah menyemak dengan pejabat Pesuruhjaya Polis Sarawak, susulan laporan media yang memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato’ S Sasikala Devi bahawa PDRM akan penempatan anggota polis bermasalah terbabit ke Sabah dan Sarawak.

Susulan itu, pihaknya dimaklumkan bahawa belum ada anggota yang dimaksudkan melaporkan diri di Kontinjen Polis Sarawak setakat ini.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak