SRI AMAN: Menjadi satu keperluan untuk para pelajar menjadi fleksibel dalam dunia digital dan teknologi yang serba pantas pada hari ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Katanya ia juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) kini.

Hallman Sabri (kanan) dan Abdul Rahman Muhiyuddin (kiri) disaksikan oleh Francis Harden (tengah) bertukar MOU baru-baru ini.

“Pelajar perlu memperoleh kemahiran yang berkaitan dengan industri, termasuk pengetahuan tentang cara memanfaatkan teknologi Revolusi Perindustrian (IR 4.0), untuk menyumbang kepada transformasi Sarawak ke landskap sosio-ekonomi yang mapan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II (Pembangunan Bakat) Datuk Francis Harden Hollis pada majlis penutupan Kem Kemahiran anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat dan Jabatan Pendidikan Sarawak di sini, baru-baru ini.

Program yang diadakan pada 26 hingga 28 Ogos lalu itu telah disertai seramai 200 pelajar SMK Simanggang dan SMK Sri Aman.

Dalam program selama tiga hari itu, tenaga pengajar dari PPKS menjalankan sesi teori dan amali berkaitan Pendawaian Elektrik dan Pertanian Pintar.

Sementara, Pengarah Eksekutif Kumpulan PPKS Hallman Sabri berkata pihaknya komited untuk menyokong Kerajaan Sarawak bagi mencapai objektif PCDS 2030.

“PPKS dengan sokongan kerajaan telah memulakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan tenaga kerja industri sebagai platform utama pertumbuhan termasuk pembangunan ekonomi digital dan ekonomi hidrogen,” katanya.

Majlis turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPKS dan Pejabat Pendidikan Daerah Sri Aman.

MoU itu bakal membuka jalan kepada kedua-dua pihak untuk memulakan pelbagai program bersama dalam menyediakan pelajar di Sri Aman dengan pelbagai kerjaya global.

Turut hadir Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran) Dr Les Met, Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Dr. Azhar Ahmad, Pengarah Pembangunan Kemahiran (JPK) Sarawak Sudirman Suratin, Pengetua SMK Sri Aman Mohamad Lela Alamsah dan Pengetua SMK Simanggang Boo Mee Lian.

Suara Sarawak