Timbalan Menteri Sukan, Belia dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu (duduk tengah) bersama para pemain dan barisan di Dewan Persatuan Badminton Sarawak

KUCHING: Tiga pelapis badminton negara antara sandaran buat kontinjen Sarawak untuk meraih pingat dalam sukan badminton menjelang Sukan Malaysia (Sukma) XX Kuala Lumpur.

Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Ting Ching Zung berkata, ketiga-tiga atlet terbabit antara pemain yang telah tersenarai sekali gus menjadikan jumlah atlet Badminton Sarawak seramai 17 orang secara keseluruhan.

“Tiga atlet tersebut ialah Pui Wee Young, Jeremy Juan Zhen Liang, dan Lee Zi Suen.

“Mereka kini berada di Bukit Jalil menjalani latihan sebagai pelapis negara di bawah pimpinan Jurulatih Badminton Negara,” katanya dalam sidang media di Dewan SBA, Kuching hari ini.

Beliau menambah, kesemua pemain terbabit akan diarahkan balik ke Sarawak dua minggu terakhir sebelum keberangkatan Kontinjen Sukma Sarawak ke Kuala Lumpur.

Tegas Ting, skuad negeri bersedia memberikan tentangan sengit menjelang Sukma XX kelak sekaligus mengharapkan pemain-pemain mampu meraih sebarang pingat buat Sarawak.

Menurutnya, kesemua 17 atlet telah dipilih berdasarkan kedudukan ranking tertinggi semasa mereka di Sarawak selepas mengikuti kejohanan-kejohanan atau latihan berpusat.

Untuk itu katanya, pihaknya bersedia memberikan insentif kepada mana-mana wakil yang menyumbang pingat kepada kontinjen Sarawak tidak mengira sama ada mereka adalah wakil Sukma sebelum ini atau sebaliknya.

Jurulatih Badminton Sukma Sarawak, Inchiwansyah Rusly Ali menambah, persediaan terkini hanya tertumpu ke arah latihan berpusat demi memastikan pemain dapat fokus menjelang perlawanan.

“Terdapat beberapa kategori dijangka berpotensi mendapatkan pingat buat Sarawak, antaranya perseorangan wanita dan beregu campuran, dan beregu lelaki,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sukan, Belia dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu yang turut hadir membuat lawatan terhadap pemain-pemain negeri berharap penubuhan dewan baharu SBA yang kini dalam proses pembinaan akan digunakan dengan sebaik mungkin dalam memperkembangkan bakat atlet muda di Sarawak.

Dewan SBA Kuching yang baharu bakal menempatkan sebanyak 10 gelanggang baharu sekali gus menjadikan lokasi tersebut lebih strategik dalam pembangunan sukan badminton secara berpusat.

Dewan terbabit dengan peruntukan kira-kira RM2 juta dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober ini.

Suara Sarawak