RAKAM KENANGAN… Fatimah (duduk di tengah) bersama Salmah Jobeli (empat kanan) dan ahli jawatankuasa JWKS yang lain pada sidang media Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini.

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) komited untuk meneruskan pelbagai program dan latihan bagi memperkasa wanita di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kesemua program dan latihan anjuran kementeriannya itu adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-Covid 2030 (PCDS 2030) Sarawak.

“Wanita dan keluarga adalah tenaga manusia yang penting untuk mencapai aspirasi dan kini, potensi dan sumbangan wanita sebagai rakan kongsi sama rata terutamanya dalam transformasi sosioekonomi semakin dilihat.

“Oleh itu, kementerian akan terus memulakan pelbagai program dan latihan dalam memperkasakan wanita untuk berdikari dan berkebolehan dalam menyumbang sosioekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan antara program latihan yang dianjurkan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) adalah Bantuan Mikro KIRWas, Latihan Kemahiran Wanita (WST) serta ‘Bounce Back Your Business’ (BYBB).

 

Suara Sarawak