BERCAKAP….Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kanan) bercakap pada sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak

KUCHING: Keputusan untuk menolak pemindahan anggota polis bermasalah ke Sarawak adalah bergantung kepada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Menurutnya, setakat ini pihaknya (Polis Sarawak) tidak menerima sebarang maklum balas mengenai isu terbabit daripada pucuk pimpinan PDRM.

“Perkara itu kita dah rujuk kepada Bukit Aman dan sebarang keputusan akan ditentukan oleh Bukit Aman.

“Kita (Polis Sarawak) sudah pun menyatakan status isu itu kepada Kerajaan Sarawak semalam (3 Ogos),” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas sama ada Polis Sarawak boleh menolak pemindahan anggota polis bermasalah di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak hari ini.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak menyatakan bahawa pucuk pimpinan PDRM akan mengkaji semula keputusan menukarkan sembilan anggota polis yang terlibat siasatan kes peras ugut seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor ke Sabah dan Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak