KUCHING: Seorang penagih dadah dijatuhi hukuman penjara dua bulan tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Covid-19.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hukuman ke atas tertuduh, Mohd Ruzaiman Mahli, 31, dijatuhkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi.

Tertuduh yang dijatuhi hukuman penjara dua bulan tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan merempuh SJR Ops Covid-19.

Menurutnya, hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh adalah penjara selama tujuh hari dan denda sebanyak RM5,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu dalam tempoh tidak kurang lima tahun.

“Tertuduh gagal membayar denda menyebabkan tambahan penjara selama dua bulan, menjadikan keseluruhan penjara selama dua bulan tujuh hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Abang Zainal berkata pada 28 Mac lalu kira-kira jam 6.35 pagi, tertuduh telah merempuh SJR Ops Covid-19 yang dijalankan di Jalan Kuching-Serian dan turut melanggar kenderaan polis serta kenderaan orang awam.

Katanya hasil siasatan mendapati tertuduh memandu secara berbahaya kerana dalam pengaruh dadah.

Sehubungan itu, katanya tertuduh disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87).

Suara Sarawak