KOTA SAMARAHAN: Penduduk dari tiga kampung Seberang Hilir melibatkan 337 ketua isi rumah (KIR) akan berpindah ke Skim Penempatan Semula Darul Hana pada 22 Ogos ini.

Adun Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, antara kampung tersebut adalah Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Lot Tambahan.

BERCAKAP… Abdul Rahman bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Seminar Zakat sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin di Unimas, dekat sini, hari ini. (Foto: GHAZALI BUJANG)

“Seperti yang kita sudah putuskan di peringkat pengurusan pembangunan Darul Hana, 22 Ogos akan menjadi tarikh penting untuk masyarakat yang tinggal di Seberang Hilir kerana ia merupakan perpindahan bagi kumpulan pertama.

“Justeru, kira-kira 337 KIR dari kampung tersebut (Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Lot Tambahan) akan berpindah ke rumah baharu yang dibina di kawasan Darul Hana,” katanya.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Seminar Zakat sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin di Unimas, dekat sini, hari.

Tambahnya, kesemua KIR juga telah melakukan cabutan undi untuk kedudukan rumah masing-masing dua bulan lalu dan mereka juga sudah bersedia untuk berpindah.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan pada 22 Ogos itu juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan kunci rumah, geran tanah dan pampasan perpindahan kepada KIR tersebut.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak