Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim merakam kenangan bersama-sama ahli Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) dan para hakim sebelum Majlis Prosiding Rujukan berlangsung.

KUCHING: Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) hari ini mengadakan Prosiding Rujukan bagi memberi penghormatan rasmi kepada tiga orang hakim mahkamah atasan Sarawak yang telah meninggal dunia.

Penghormatan tersebut diberikan kepada mendiang Datuk Seri Tan Chiaw Thong, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Borneo yang meninggal dunia pada 20 Februari 2020; mendiang Datuk Denis Ong Jiew Fook, bekas Hakim Mahkamah Rayuan meninggal dunia pada 24 Februari 2020 dan Allahyarham Tan Seri Datuk Amar Mohamad Jemuri Serjan bekas Ketua Hakim Borneo dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak meninggal dunia pada 26 Januari 2022.

Ketiga-tiga hakim tersebut telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan undang-undang di negara dan pencapaian mereka harus diberi pengiktirafan serta peringatan.

Menurut Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, beliau berharap agar legasi ketiga-tiga individu terbabit akan memberi inspirasi kepada semua pihak untuk melakukan yang lebih baik.

“Mereka telah membentuk prinsip asas konsep pengasingan kuasa yang kemudiannya memberi bentuk dan inti pati kepada rangka Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Prosiding Rujukan sebagai penghormatan rasmi kepada tiga orang hakim mahkamah atasan dari Sarawak yang telah meninggal dunia di Kamar Mahkamah Kuching di sini, hari ini.

“Mendiang Datuk Seri Tan Chiaw Thong disegani kerana ketegasan beliau dalam undang-undang jenayah. Beliau juga terkenal dengan peranannya dalam krisis perlembagaan Sabah 1985.

“Mendiang Datuk Denis Ong Jiew Fook pula sentiasa diingati sebagai seorang rajin di rumah, bekerja sehingga lewat malam untuk menulis tentang penghakimannya. Meskipun terpaksa bekerja, beliau berusaha untuk meletakkan keluarga dan kepercayaannya di atas segala-galanya.

“Manakala, Allahyarham Tan Seri Jemuri pula merupakan penyokong kuat kedaulatan undang-undang. Beliau tidak bersimpati dengan sebarang hujah yang mencadangkan bahawa kuasa luas boleh dibiarkan tanpa kawalan,” ujarnya.

Turut hadir Penasihat Undang-Undang Sarawak Dato Seri JC Fong, Peguam Besar Sarawak Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Kuching.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak