Foto: Portal Parlimen Malaysia

MINGGU lalu hangat di parlimen apabila Rang Undang-undang (RUU) (Pindaan) (No. 3) berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, diluluskan.

Ia dianggap sebagai sejarah baharu politik negara apabila peruntukan tersebut digubal melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Pada 28 Julai, RUU tersebut diluluskan di Dewan Rakyat dengan undian 209 ahli parlimen menyokong, sementara 11 tidak hadir.

RUU tersebut terdahulu dibentangkan pada Rabu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Seterusnya bacaan kali kedua oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari yang sama.

Sesi perbahasan pula diadakan selama dua hari iaitu Rabu dan Khamis dengan menyaksikan penglibatan seramai 54 ahli parlimen.

Antara persoalan yang dibahaskan merangkumi tafsiran bertukar parti, pemansuhan Fasal 6 Perkara 48, pemakaian RUU kepada ahli parlimen dan Adun serta pengecualian peruntukan.

Seterusnya, sesi penggulungan perbahasan dan bacaan kali ketiga juga dibentangkan oleh Wan Junaidi.

Sementara, bacaan pertama RUU di Dewan Negara dilakukan pada Ogos ini dan sekiranya diluluskan, ia akan diwartakan setelah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang menarik, RUU larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti disambut baik banyak pihak termasuk pembangkang, Adun dari Sarawak dan sebagainya.

Ini menunjukkan tiada siapa dapat menerima katak politik demi kepentingan sendiri.

Apa tidaknya dalam tempoh lima tahun kebelakangan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ramai YB menjadi katak.

Lompat sana sini, tinggalkan parti lama untuk ‘kedudukan’ yang lebih baik bersama-sama parti baharu.

Sehingga dalam Kabinet Persekutuan sendiri, ada juga si katak.

Di mana ada nyawa, di situ ada katak…yang ditinggalkan terkapa-ikapai, ibarat habis manis sepah dibuang.

Yang menerima tersenyum, apabila kemasukan katak menjadikan sokongan lebih kuat.

Sokongan rakyat sebagai individu yang memilih (pengundi) seolah-olah diletak ke tepi.

Apa yang diharapkan selepas ini, langkah besar ke arah pembangunan demokrasi negara.

Adun Pending Violet Yong misalnya berpandangan, kelulusan RUU berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti akan meningkatkan keyakinan pengundi dan menggalakkan mereka untuk keluar mengundi.

Menurutnya, ia satu keyakinan kepada rakyat supaya tidak berasa dianiaya dan dihormati atas undian yang diberi.

“Saya menyokong penuh RUU ini dan berharap Kerajaan Sarawak juga akan memberi persetujuan untuk RUU ini dilaksanakan di negeri ini apabila tiba masanya kelak,” tegasnya.

Sementara itu Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Henry Harry Jinep yakin kelulusan RUU itu akan memastikan kestabilan politik di negara ini.

Katanya, undang-undang itu akan memastikan harapan pengundi tidak akan dikhianati. “Saya percaya ahli politik yang kerap lompat parti boleh menggugat kestabilan kerajaan,” katanya.

Bagi Adun Mulu Datuk Gerawat Gala pula berharap kelulusan RUU ini akan membawa kestabilan kepada politik dan kerajaan di Malaysia.

Katanya, seseorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika bertukar parti. “Ini akan memastikan wakil rakyat tidak boleh menyertai parti lain tanpa perlu melalui pilihan raya kecil untuk mendapatkan mandat baharu daripada pengundi kawasan itu.

“Sekali gus, memastikan pengundi mempunyai kata putus terhadap keputusan mereka.

“Manakala wakil rakyat pula tidak akan menganggap kemenangan pada pilihan raya mereka sebagai cek kosong untuk melompat dari parti ke parti lain tanpa merujuk kepada pengundi mereka,” tambahnya.

Tuntasnya, konsep politik katak sepatutnya sudah lama dihapuskan di negara ini. Ia disokong oleh Penganalisis Politik, Pusat Kajian Media dan Komunikasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ammar Redza Ahmad Rizal yang menyatakan katak politik atau politik katak menyebabkan negara terus berdepan krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Tindakan wakil rakyat yang lebih terarah untuk menumpukan kepada kapital politik masingmasing ini bertentangan dengan kemahuan rakyat yang mahukan kestabilan politik.

“Sedangkan, rakyat mahukan wakil rakyat yang fokus kepada aspek pembangunan, ekonomi, dan kemaslahatan kesejahteraan rakyat sekali gus membolehkan perjalanan politik kembali lancar dan stabil,” katanya.

Justeru, setiap YB harus lebih bertanggungjawab dan menjaga maruah masing-masing. Melompat bukanlah solusi terbaik dalam apa-apa jua keadaan.

Semoga selepas ini, Malaysia lebih stabil keadaan politiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Letakkan segala isu harian yang membelenggu rakyat sebagai keutamaan daripada memikirkan kepentingan karier politik masingmasing sahaja.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak