PENYERAHAN… Idris (dua kanan) menyampaikan sijil pelantikan KMKK kepada penerima.

KOTA SAMARAHAN: Jawatan Penghulu dan Ketua Kaum (KK) perlu diwujudkan di setiap taman perumahan bagi memudahkan urusan penduduk di kawasan berkenaan.

Timbalan Speaker Dun Sarawak Datuk Idris Buang berkata, ia susulan pembangunan masa kini yang semakin berkembang pesat dengan peningkatan penduduk setempat.

Mengambil contoh kawasan Taman Perumahan Desa Ilmu di sini, beliau berkata seharusnya terdapat seorang penghulu dan tiga KK pelbagai bangsa dilantik bagi memudahkan urusan kerajaan menjaga kebajikan penduduk di kawasan itu.

“Justeru, saya telah mengusulkan permohonan kepada kerajaan agar penghulu di setiap taman perumahan dilantik dan sekurang-kurangnya terdapat tiga KK di kawasan tersebut.

“Permintaan telah diusulkan tahun lepas namun, kita masih belum mendapat maklum balas setakat ini…mungkin satu hari nanti permohonan itu akan dipertimbangkan kerana ia merupakan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penanguhan Kursus Pemerkasaan Ketua Masyarakat atau Ketua Kaum (KMKK) dan Tatacara Pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Samarahan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Adun Muara Tuang berkata sistem pentadbiran kerajaan juga sememangnya memerlukan sokongan daripada pemimpin akar umbi.

Disebabkan itu, setiap taman perumahan di seluruh Sarawak terutama di Kota Samarahan memerlukan jawatan penghulu dan KK dengan mengambil kira taman-taman berkenaan boleh dianggap sebagai perkampungan moden.

“Di kawasan Samarahan mempunyai lebih 100 taman perumahan dan di Dun Muara Tuang sahaja, merangkumi kawasan Serian dan Siburan, mempunyai 54 kampung.

“Dengan pelantikan itu nanti, mereka dapat membantu menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat dengan menyalurkan maklumat kepada pihak atasan di peringkat jabatan kerajaan dan wakil rakyat,” ujarnya.

BERUCAP… Idris menjawab soalan daripada pemberita.

Suara Sarawak