PADAWAN: Pelbagai program sosioekonomi dilaksanakan untuk memperkasakan kaum wanita di Parlimen Puncak Borneo.

Ahli Parlimennya Datuk Willie Mongin berkata, kursus kemahiran yang disediakan di pusat khidmatnya juga boleh diguna pakai masyarakat dari parlimen lain dalam membantu wanita.

“Semenjak saya menjadi wakil rakyat, banyak program yang kita laksanakan untuk memperkasa dan menggilap ekonomi golongan wanita.

“Kita bagi tumpuan kepada golongan B40, ibu tunggal dan wanita dalam golongan berpendapatan rendah bagi membantu menambah pendapatan mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Jahitan dan Anyaman Wanita di Sinaruh Cafe, di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perusahan Peladangan dan Komoditi itu berkata, sebelum ini, beliau telah melaksanakan program seperti kemahiran memasak, kraftangan serta kursus pengendalian spa dan urutan tradisional.

Di samping itu, katanya, pihaknya turut merancangan untuk melaksanakan program pendedahan sosial media agar kaum wanita agar dapat mempromosikan produk mereka melalui pasaran digital.

Program diadakan selama dua hari itu merupakan kerjasama Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dengan Pusat Khidmat Puncak Borneo dan Persatuan Wanita Puncak Borneo.

Program tersebut disertai seramai 60 orang peserta.

Willie ditemui media selepas selepas merasmikan Kursus Jahitan dan Anyaman Wanita di Sinaruh Cafe, di sini, hari ini.

Suara Sarawak