MERIAH…Timbalan Menteri Undang-Undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Menteri Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang cabutan bertuah (tiga dari kiri) yang memenangi motosikal pada program “Break-Off Samarahan”

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak tetap dengan pendirian untuk mempertahankan penggunaan pas oleh rakyat Semenanjung Malaysia untuk masuk ke Sarawak.

Timbalan Menteri Undang-Undang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Menteri Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan, perkara itu antara hak yang diberikan kepada Sarawak dan telah dipersetujui bersama yang termaktub di bawah MA63.

“Orang nak soal (perlu pas masuk ke Sarawak) biarlah, kita tetap dengan pendirian supaya perkara yang telah dipersetujui semasa menandatangani MA63 akan terus dipertahan dan diperjuangkan.

“Ini kerana ia merupakan hak Sarawak di bawah MA63 yang mana hak kita adalah untuk memperjuangkan dan mempertahankan imigresen kita.

“Maksudnya kita tidak mahu hak imigresen Sarawak dipersoalkan kerana ia merupakan perkara yang tidak boleh dirunding di bawah MA63,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan program “Break Off Samarahan” di pusat beli belah Aiman di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu viral individu mempersoalkan keperluan pas untuk masuk ke Sabah dan Sarawak.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Suara Sarawak