SIMBOLIK…Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah merasmikan penangguhan dengan menumbuk beras bersama-sama Safiee Ahmad di sini hari ini.

DARO: Pesta Daro yang sering mendapat sambutan hangat, akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sarawak, sebagai satu acara pelancongan tahunan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana aktiviti tahunan itu telah menarik ramai pengunjung yang turut serta memeriahkan pesta berkenaan.

“Setelah dilihat dari sambutan dan pemerhatian kita sendiri bersama-sama orang ramai termasuk dengan pemimpin di kawasan ini, saya boleh katakan bahawa Pesta Daro untuk tahun ini amat berjaya sekali.

“Saya percaya kehadiran pengunjung yang begitu ramai merupakan kekuatan utama untuk pesta ini mendapat sambutan,” katanya dalam ucapannya pada majlis Penangguhan Pesta Daro 2022 di sini, hari ini.

Dengan sambutan yang menggalakkan ini tambah Karim, kementeriannya nanti akan menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan Pesta Daro pada masa akan datang.

Katanya, peruntukan akan disalurkan menerusi kementeriannya dan seterusnya melalui Pejabat Daerah, wakil-wakil rakyat dan agensi lain akan dapat merancang program dan aktiviti menarik untuk kawasan ini pada masa akan datang.

Pesta Daro yang berlangsung selama 10 hari dan berakhir pada hari ini dianggarkan mencapai ribuan pengunjung tidak kira pengunjung dari dalam dan luar daerah Daro.

Dalam masa yang sama, lebih 159 gerai jualan telah dibuka untuk orang tempatan dan masyarakat luar menjual pelbagai produk jualan mereka.

Suara Sarawak