RASMI… Timbalan Menteri Pengangkutan (Penerbangan dan Jalan Raya), Datuk Dr. Jerip Susil bersama Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Dr. Abang Adam Abang Deli (dua dari kiri) dan pegawai pendidikan Daerah Padawan di Majlis Aspirasi Sambutan Hari Guru Daerah Padawan di Kuching semalam.

KUCHING: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan merancang mengadakan Kolokium Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2022 yang dijadualkan pada 30 November hingga 2 Disember kelak di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, dekat sini.

Pegawai Pendidikan Daerah Padawan Dr Abang Adam Abang Deli berkata, ia juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutama sekali dalam kalangan guru di daerah Padawan.

“Penganjuran kolokium tersebut juga menerima penglibatan dari negeri lain yang mana masing-masing seorang dari Perak, Putrajaya, Pahang, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Bau; manakala dua dari Kuala Lumpur dan tiga dari Sabah.

“Bagi semua penyertaan yang kita terima setakat ini adalah 121 orang dan pendaftaran penyertaan juga akan ditutup hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Apresiasi Apresiasi Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Padawan 2022 di Hotel Raia dan Pusat Konvensyen Kuching, malam tadi.

Sementara itu, ketika ditemui Suara Sarawak, Abang Adam berkata, kolokium itu juga akan diadakan secara bersemuka dan secara maya, dengan peserta dari Semenanjung Malaysia boleh menyertai secara dalam talian.

Katanya objektif penganjuran kolokium itu adalah untuk membudayakan penyelidikan dalam dam kalangan guru.

“Ini penting bagi proses pengajaran dan pembelajaran.

“Ia juga merupakan platform untuk mereka mengetengahkan kajian tindakan penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengajaran untuk dikongsikan dengan warga pendidik yang lain.

“Justeru, ini yang kita harapkan sebab setiap tahun kita cuba laksanakan juga kolokium tersebut supaya budaya penyelidikan subur dalam kalangan guru-guru kita,” tegasnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Pengerusi Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) Kuching Zon B (Padawan) Haslinda Jedi, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Padawan Edward Peter Bajat, Focal Person PIBKS PPD Padawan Moliadi Ahmad, Timbalan Pengarah Penjara Puncak Borneo Bolkian Srah serta wakil yang lain.

SIDANG MEDIA… Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Dr. Abang Adam Abang Deli di Majlis Aspirasi Sambutan Hari Guru Daerah Padawan di Kuching semalam.
SIDANG MEDIA… Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Dr. Abang Adam Abang Deli di Majlis Aspirasi Sambutan Hari Guru Daerah Padawan di Kuching semalam.

Suara Sarawak