ISTIMEWA HARI GURU… Perkhemahan Dendangan Syair selama 60 jam tanpa henti oleh warga pendidikan Daerah Saratok.

SARATOK: Sambutan Hari Guru Daerah Saratok tahun ini disifatkan istimewa apabila sekitar 700 warga pendidikan bakal bergabung untuk bersyair selama 60 jam tanpa henti bagi melakar nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Pegawai Pendidikan Daerah Saratok Anis Madeli memberitahu, program dirancang bermula 18 hingga 21 Ogos ini bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia di sini.

Ia turut bakal melibatkan penyertaan warga sekolah rendah, menengah, pejabat pendidikan dan Majlis Pengetua dan Guru Besar (MPGB).

“Insya-Allah program mendendangkan syair selama 60 jam tanpa henti itu nanti akan melibatkan penyertaan kira-kira 700 warga pendidikan dari Zon Kabong, Roban, Saratok dan Krian.

“Hasrat program ini adalah menjadikan sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Saratok 2022 satu sambutan yang istimewa untuk dikenang.

“Seterusnya melakar nama PPD Saratok di dalam MBOR,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Jelasnya, keberanian ini membuktikan warga pendidikan di luar bandar juga berpeluang memecahkan rekod negara.

“Ia bersesuaian dengan matlamat untuk memecah rekod melalui bidang bahasa dan seterusnya membuka mata masyarakat bahawa anak bangsa di luar bandar juga mampu melakar nama,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Adun Kalaka Mohamad Duri yang menyokong kuat hasrat PPD Saratok kali ini.

Berdasarkan perancangan awal, aktiviti bersyair selama 60 jam tanpa henti kali ini akan bermula pukul 10 malam Khamis dan dijangka berakhir pada 10 pagi Isnin depan.

 

 

Suara Sarawak