Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninjau jalan yang perlu dinaik taraf di sekitar Kampung Bako Hilir, diiringi oleh Penghulu Janibah Hazmi

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhasrat untuk menjalankan Program Pembaharuan Bandar di kawasan Bako, di sini.

Menurutnya ia susulan Kampung Bako, sebuah kampung Melayu tradisi terawal yang sudah menjangkau usia lebih 100 tahun.

“Dengan sejarah yang begitu panjang, maka kita mesti mencari makanisma untuk membangunkan kawasan ini.

“Walaupun kerajaan menumpukan untuk membangunkan kawasan strategik, namun kawasan-kawasan di tempat lain juga perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat, di padang futsal Kampung Bako Hilir, hari ini.

Dedah Wan Junaidi, beliau akan berjumpa dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengutarakan perkara ini.

“Saya akan mencadangkan satu program khusus dalam jangka masa tertentu untuk dilaksanakan di kampung seperti kampung ini dan kampung-kampung tradisi yang telah padat dengan penduduk,” katanya.

Pada program yang sama, Ahli Parlimen Santubong itu turut mendedahkan projek-projek infrastruktur yang dijalankan di kawasan Bako Hilir.

Antaranya adalah projek membaik pulih jambatan belian di Lorong 1 dengan kos RM300,000, Lorong 3 dengan kos RM250,000 dan Lorong 4 dengan kos RM200,000 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Tambah beliau lagi, projek naik taraf titian belian kepada titian konkrit juga turut dilakukan di Lorong Bakawi Mos (132 meter), Lorong Haji Hassan (77meter) dan Lorong Haji Sulaiman dengan kos sebanyak RM200,000 yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB).

Ia juga termasuk membina baru titian di Lorong Haji Indra dengan kos yang diperuntukan sebanyak RM250,000 yang akan dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sarawak (SDO).

“Selain itu, projek-projek infrastruktur turut dilakukan di kawasan Bako Tengah iaitu probina membina baru titian belian di Lorong Haji Putit dengan kos sebanyak RM200,000 dan perojek baik pulih titian belian di Lorong 2 dengan kos sebanyak RM350,000 yang bakal dilaksanakan oleh KPKT,” katanya.

Ujar beliau, keseluruhan peruntukan untuk projek tersebut adalah berjumlah RM1.7 juta.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie.

Suara Sarawak