SERIAN: Program Town Hall Discussion bagi menangani aktiviti dadah dan jenayah dirancang untuk diperluaskan ke lain-lain daerah di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, program tersebut akan dilaksanakan secara berfasa dengan melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sarawak (AADK) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sarawak.

“Ini antara usaha kita hendak memerangi dadah ini secara habis-habisan dan secara agresif,” katanya ketika ditemui media selepas Program Townhall Discussion Daerah Serian di Dewan Pentadbiran Kerajaan Sarawak, Bahagian Serian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui program ini, pihak berkuasa dapat mengetahui dengan lebih lanjut masalah berlaku dalam masyarakat.

“Ini perbincangan dua hala dan merupakan satu langkah yang berkesan dalam menyampaikan penerangan ke peringkat akar umbi,” ujarnya.

Terdahulu, Mancha bersama Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Iskandar Turkee dan Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatrik Unimas Dr Ting Chuong Hok Bernard membentangkan peranan dan tindakan agensi masing-masing dalam penyalahgunaan dadah.

Program turut disertai oleh pegawai kanan polis, Residen Bahagian Serian Selamat Jati Yanjah, Pegawai Daerah Tebedu, Joseph Liaw.

Suara Sarawak