RAKAM KENANGAN… Dr John (tiga dari kiri) merakam kenangan bersama Lina (dua kiri), Othman (tengah), Bobby (enam dari kanan) dan ahli parti yang lain. – Photo Ghazali Bujang

KUCHING: Parti Sedar Rakyat Sarawak( Sedar), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) menubuhkan entiti politik gabungan baharu dikenali sebagai Gagasan Rakyat Sarawak (Gagasan).

Satu memorandum persefahaman (MoU) penubuhan gagasan politik baharu yang membabitkan tiga blok pembangkang tempatan Sarawak itu dimeterai hari ini.

Pengerusi Tetap PDBS, Dr John Brian Anthony berkata, pembentukan tersebut bagi mengelak pertembungan sesama sendiri antara tiga parti itu apabila menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kami yakin pembentukan Gagasan ini akan membentuk kekuatan tersendiri kerana setiap parti tempatan ini mempunyai kelebihan tersendiri. Gagasan juga akan mewujudkan sebuah kerajaan alternatif lebih baik dengan tadbir urus yang cekap,” katanya pada majlis MoU bagi membentuk Gagasan di Hotel Hilton di sini, hari ini.

MoU tersebut ditandatangani oleh Presiden PBDS, Bobby William; Presiden Aspirasi, Lina Soo dan Presiden Sedar, Datuk Othman Abdillah.

Sementara itu, Othman berkata Gagasan akan meletakkan calon di semua 31 kawasan parlimen di Sarawak pada PRU-15 dan komited untuk memenangi semua kerusi tersebut.

“Seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), kami bersaing sesama sendiri dan ini memberikan kelebihan kepada GPS. Justeru Gagasan ini dibentuk supaya kita dapat memberi saingan.

“Kita bermula dengan tiga parti pembangkang tempatan dahulu dan mengalu-alukan parti lain (blok pembangkang) untuk turut menyertai Gagasan ini.

“Setakat ini kami sedang menunggu kelulusan penubuhan Gagasan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan berharap ia dapat diluluskan sebelum PRU-15,” katanya.

MOU…Dari kiri, Lina, Othman dan Bobby selepas menandatangani MoU hari ini. – Photo Ghazali Bujang

Suara Sarawak