SIDANG MEDIA… Soon Koh (tengah) menjawab soalan daripada pemberita. Hadir sama, Dr Johnical (pertama kanan) dan Baru Bian (pertama kiri).

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pihaknya akan berusaha berbincang dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) berhubung pembahagian kerusi.

“Kita telah belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan mahu memastikan semua parti pembangkang dapat berkerjasama dan memberi saingan kepada parti lawan.

“Ini kerana kita tidak boleh menafikan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat berkuasa dan kuat melalui keputusan PRN yang lepas.

“Pada akhirnya, sesiapa yang mendapat mandat daripada rakyat akan membentuk kerajaan. Justeru kita berharap untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mendapat mandat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB ke-3 Restoran Shangrila, CityOne di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bawang Assan itu memberitahu, PSB dijangka akan bertanding sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen PRU-15 kerana pihaknya mahu memberi tumpuan terhadap kawasan yang boleh dimenangi.

Ketika ditanya, sama ada Setiausaha Agung PSB, Baru Bian akan mempertahankan kerusi Selangau pada PRU15 kelak, Soon Koh berkata penilaian terperinci mengenai perkara itu akan dilakukan.

Terdahulu dalam ucapan perasmian persidangan, Soon Koh berkata lima parti tempatan Sarawak bersetuju untuk berkerjasama meletakkan seorang calon mewakili setiap konstituensi pada PRU-15.

Lima parti tersebut adalah PSB, Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru PBDSB dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

Suara Sarawak