RASMI… Datuk Seri Richard Riot bersama Adun Bukit Semunja, John Ilus (dua kiri) turut kelihatan Ketua Kaum Kampung Serian Ulu, Safiee Pli (dua dari kiri) di perasmian Jambatan Gantung Kampung Hulu, Serian

SERIAN: “Tidak kira Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan atau tidak, jangan abaikan tugas sebagai wakil rakyat,” itu reaksi Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem ketika diminta mengulas mengenai persediaan PRU ke-15 yang dijangka dilaksanakan hujung tahun ini.

Beliau berkata, Pru-15 seharusnya ditanya kepada rakyat kerana beliau sendiri tidak tahu adakah dirinya bersedia atau tidak.

“Bagi saya PRU atau tidak..ia adalah sama, tiada PRU saya sentiasa di lapangan pada hujung minggu walaupun tugas saya lebih di Kuala Lumpur.

“Ini bukan kerana PRU tidak lama lagi, ini kerana tanggungjawab saya yang menjadi ahli politik Parlimen Serian sejak 32 tahun,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan terus mempertahankan kerusi parlimennya, Richard berkata perkara itu terpulang kepada keputusan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukannya.

Richard justeru meluahkan keyakinannya bahawa tiga kerusi majoriti Bidayuh iaitu Mas Gading, Puncak Borneo, dan Serian akan berada di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Untuk rekod, Richard memenangi kerusi Parlimen Serian dengan majoriti 9,905 undi pada PRU ke-14.

Richard memperoleh 17,545 undi menewaskan dua  pencabarnya, Edward Andrew Luwak dari Parti Tindakan Demokratik (7,640 undi) dan calon Bebas, Senior Anak William Rade dengan 2,234 undi.

Suara Sarawak