BERUCAP… Baru berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3.

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) memerlukan lebih ramai ahli berbilang kaum susulan terdapat ketidakseimbangan keahlian dalam parti tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ba’Kelalan Baru Bian berkata, pemimpin parti perlu melihat perkara ini dengan lebih serius sekiranya mahu menjadi lebih alternatif dan berdaya maju.

“Sehubungan itu, program pengambilan ahli mesti disesuaikan dalam mengalu-alukan lebih ramai ahli daripada etnik yang berbeza, supaya bilangan keahlian dapat ditingkatkan bagi mencerminkan kepelbagaian di Sarawak,” kata Ahli Parlimen Selangau itu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3 yang dirasmikan oleh Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh di di Restoran Shangrila Pusat Beli Belah Cityone di sini, hari ini.

Sementara itu, Adun Engkelili, Dr Johnichal Rayong berkata, PSB akan terus memperjuangkan masalah rakyat khususnya di luar bandar.

Katanya, ia merangkumi kekurangan pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik luar bandar, masalah kelajuan internet, keseimbangan dalam perkhidmatan awam, masalah tanah hak adat bumiputera (NCR) dan sebagainya.

“Oleh itu, kita harus berusaha memberi kerjasama dengan kerajaan yang memerintah untuk memanjangkan permohonan rakyat ini supaya dipertimbangkan dengan wajarnya.

“Kalau di peringkat Persekutuan, para pembangkang telah berjumpa dengan Perdana Menteri dan di sini, kita tidak mempunyai masalah untuk berjumpa dengan Premier Sarawak.

“Saya yakin Premier Sarawak ikhlas dan bersetuju untuk berjumpa dengan PSB dalam menyelesaikan masalah–masalah rakyat,” katanya.

Meskipun PSB merupakan parti pembangkang katanya, pihaknya juga ingin memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Sarawak maju dan stabil dari pelbagai sudut khasnya dari segi pembangunan.

Rakaman kenangan sekitar Persidangan Perwakilan Tritahunan PSB Ke-3.

Suara Sarawak