Chong Chieng Jen ditemui media selepas menyempurnakan penganugerahan pelajar cemerlang SPM 2021 di Ibu Pejabat DAP, di sini.

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak seharusnya menuntut untuk bertanding kerusi parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata, tuntuan yang dikemukakan oleh PSB dalam rundingan pembahagian kerusi parlimen itu dilihat tidak berasas.

Jelasnya, meskipun tidak menyatakan kerusi yang hendak ditandingi, tuntutan tersebut adalah tidak wajar sekiranya PH dan PSB hendak bekerjasama pada PRU ke-15.

“Saya berpandangan sekiranya kita hendak bekerjasama, tuntutan itu adalah tidak wajar.

“Selangau yang penyandangnya dari PSB, kita tidak membuat tuntutan untuk bertanding di situ. Kita tidak bertanding di kerusi yang telah disandang,” katanya kepada media selepas penyerahan anugerah kecemerlangan pelajar SPM 2021 di Ibu Pejabat DAP, di sini hari ini.

Malah beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata, tindakan PSB untuk bertanding di semua kerusi sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh PH juga tidak wajar dan seolah-olah paksaan.

“Ia bermakna anda harus menggugurkan salah seorang dari Ahli Parlimen anda untuk memberi laluan kepada PSB,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Stampin itu menegaskan perlu adanya keikhlasan antara dua pihak sekiranya hendak bekerjasama dalam pengagihan kerusi.

Tambahnya, ia sekaligus meningkatkan lagi peluang untuk memenangi banyak kerusi berbanding mengagih kerusi parlimen.

DAP Sarawak sebelum ini telah membentuk jawatankuasa untuk berunding dengan PSB termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bekerjasama pada PRU ke-15.

Suara Sarawak