Len Talif (lima kiri), Abu Bakar (enam kiri) dan Adun kawasan di bawah bidang kuasa RADDA merakam kenangan bersama.

KUCHING: Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) mengenal pasti sejumlah 442 projek bernilai RM17.8 bilion bakal dilaksanakan melibatkan semua kawasan di bawah agensi tersebut.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, jumlah projek itu adalah hasil perbincangan yang diperoleh menerusi makmal RADDA yang diadakan sebelum ini.

Katanya, bagaimanapun setiap agensi pembangunan termasuk RADDA hanya diperuntukkan sebanyak RM1.5 juta daripada Kerajaan Sarawak.

“Sehubungan itu makmal ini diadakan bagi memperincikan lagi projek-projek yang akan diberi keutamaan dan RADDA telah mengenal pasti beberapa projek mengikut agensi pelaksana.

“Selepas makmal ini, kita akan menyediakan kertas kerja untuk kelulusan pada Mesyuarat Kabinet negeri September nanti.

“Diharapkan pelaksanaan projek yang dikenal pasti ini dapat dimulakan awal tahun depan,” katanya pada sidang media semasa majlis Makan Malam Sempena Makmal Sindikasi Pelan Pembangunan RADDA di sini, malam Isnin.

Tambah Adun Kuala Rajang merangkap pengerusi RADDA terbabit, sebanyak 442 projek fizikal melibatkan RM17.8 bilion peruntukan mengikut sektor bagi tempoh 2022 hingga 2030 telah dicadangkan untuk dilaksanakan.

Tambah beliau lagi, kira-kira 60 peratus daripada peruntukan itu melibatkan projek pembangunan infrastruktur sebanyak 159 projek dengan anggaran bajet RM7.839 bilion.

“Manakala 137 projek perkhidmatan sosial dianggarkan bernilai RM2.859 bilion dan 58 projek pembangunan ekonomi sebanyak RM2.13 bilion.

“Bagi pertanian dan agro-makanan pula sebanyak 56 projek anggaran RM3.805 bilion perbelanjaan serta 32 projek utiliti dan telekomunikasi digital sebanyak RM1.179 bilion perbelanjaan,” katanya.

 

Suara Sarawak