BERCAKAP… Richard Riot ketika ditemu-bual selepas menghadiri ‘Thinking Lab for Serian Master Plan Study (2020-2030)’ di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, hari ini.

SERIAN: Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem yakin mampu mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membuat keputusan muktamad mengenai pencalonannya nanti.

“Saya akan tetap berada di sini, itu yang boleh saya katakan.

“Saya tidak menyatakan sama ada jaminan itu daripada Premier Sarawak atau daripada Presiden Parti Rakyat Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian tetapi saya yakin saya akan tetap ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ‘Thinking Lab for Serian Master Plan Study (2020-2030)’ di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Serian, hari ini.

Riot yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Jepun, Korea Selatan dan Taiwan turut yakin dapat mengekalkan kerusi itu berdasarkan prestasi dan perkhidmatannya kepada rakyat selama lebih 30 tahun.

“Saya sentiasa berada di lapangan bersama rakyat. Bukan sahaja saya masih cergas, malah saya yakin memenangi kerusi untuk GPS, jadi saya masih ada,” katanya.

Riot telah menjadi Ahli Parlimen Serian selama tujuh penggal sejak PRU-8 pada 1990.

Pada PRU-14 yang lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Serian dengan majoriti 9,905 undi apabila memperoleh 17,545 undi menewaskan dua pencabarnya, Edward Andrew Luwak dari Parti Tindakan Demokratik (7,640 undi) dan calon Bebas, Senior William Rade dengan 2,234 undi.

Suara Sarawak