SIBU: Sebuah keluarga hilang tempat tinggal setelah kediaman mereka di Jalan Ing Guong, Sungai Bidut di sini ranap dalam kebakaran pada awal pagi tadi.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 12.59 pagi itu turut memusnahkan tiga buah motosikal dan sebuah kereta.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah yang menerima panggilan kecemasan telah menggerakkan 13 anggotanya beserta sebuah FRT dan ERMS diketuai oleh ketua balai yang bertindak sebagai komander operasi TPgB Abdul Mutalib Jaffar.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal (kayu)  setingkat yang berkeluasan 20×30 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.

“Turut musnah juga sebuah kereta Toyota Avanza serta tiga buah motosikal yang diletak berhampiran rumah,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambahnya, anggota bomba telah berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran dua nozel sumber air dari pili bomba berhampiran dan turut mengawal kebakaran dari merebak ke bangunan tadika bersebelahan.

Setelah mendapati keadaan selamat dan kebakaran padam sepenuhnya ujarnya, anggota berangkat balik ke balai.

“Keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, seorang lelaki dan dua orang perempuan tidak mengalami sebarang kecederaan malah tiada kemalangan jiwa turut dilaporkan,” kata jurucakapnya.

PADAM…Anggota bomba ketika melakukan pemadaman api di lokasi kejadian.

 

Suara Sarawak