Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan dalam Jawatankuasa yang memperuntukkan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti perlu diterima pakai oleh semua negeri.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyeru semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan yang telah diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos lalu.

Beliau berkata, cadangan ini adalah untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan berharap agar semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan ini supaya kestabilan politik dapat dikekalkan.

“Malah, penyeragaman sistem juga boleh dicapai bukan sahaja di peringkat Persekutuan bahkan di peringkat negeri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, RUU berkenaan telah diluluskan di Dewan Negara dengan undian majoriti  sebanyak 52 Ahli Dewan Negara bersetuju manakala tujuh tidak hadir.

Sebagai tindakan susulan katanya, Jabatan Peguam Negara akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Seterusnya, perintah kuat kuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-
Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuatkuasa mengikut Fasal 1 Rang Undang-Undang tersebut.

“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Ia adalah untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan  Rakyat dan Dewan Negara,” ujarnya.

Suara Sarawak