Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meninjau jalan yang perlu dinaik taraf di sekitar Kampung Bako Hilir, diiringi oleh Penghulu Janibah Hazmi

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti dijangka berkuat kuasa pertengahan September nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada dua hari lalu.

“Tuanku ada bertanya kepada saya berhubung RUU itu. Kita sudah mempersembahkannya, justeru kita berilah masa dalam seminggu ini kepada baginda untuk meneliti RUU tersebut dahulu.

“Jika ada perkara yang perlu diperjelaskan, Tuanku akan memanggil Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) untuk memberi penjelasan lanjut mengenai RUU itu.

Wan Junaidi menjawab soalan daripada pemberita.

“Jadi saya yakin pelaksanaan RUU boleh dikuatkuasakan minggu kedua September ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kenduri Rakyat Kampung Bako Hilir di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi berkata, proses menguatkuasakan RUU itu membabitkan dua peringkat.

“Pertama adalah di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong dan ia telah dilaksanakan.

“Selepas itu, RUU berkenaan akan dikembalikan kepada Pejabat Peguam Negara dan ke pejabat saya untuk kita memohon semula kepada Tuanku supaya ia dapat dikuatkuasakan,” katanya.

Sebelum ini, RUU berkenaan diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju dan 11 Ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Di bawah RUU berkenaan, wakil rakyat akan kehilangan kerusi jika memilih untuk melompat parti.

Bagaimanapun, pengecualian terhadap RUU berkenaan diberikan kepada wakil rakyat yang dipecat oleh parti atau parti yang diwakili dibubarkan dan dibatalkan pendaftaran.

 

Suara Sarawak