JUARA…Para pemain dan barisan jurulatih Samarahan FA menjulang Piala Sumbangsih 2022

KUCHING: Gol tunggal jaringan penyerang Samarahan FA, Azan Jasmi menjadi penentu buat pasukan Samarahan FA merangkul Piala Sumbangsih 2022 ketika menentang Sri Aman FA di Stadium Negeri, di sini, hari ini.

Larian solo penyerang lincah itu bermula dari bahagian tengah padang berjaya disudahi dengan rembatan ke sebelah kiri gawang pasukan lawan.

Ini sekali gus menjadi jaringan tunggal perlawanan pembuka tirai Liga SSC-FAS B20 Liga Bola Sepak Perbadanan Sukan Sarawak- Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (SSC-FAS) Bawah 20 Tahun Sarawak 2022.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan memberikan persembahan baik apabila masing-masing mencari jaringan awal namun buntu.

Aksi masa kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan saling mempamerkan persembahan seimbang dengan rentak serangan bertali arus.

KEBAL….Barisan kesebelasan utama Samarahan FA menentang Sri Aman FA

Namun kebijaksanaan pemain tengah, Mohammad  Terajuna Turna yang mendorong bola terus ke bahagian tengah pada 20 minit terakhir perlawanan membuahkan hasil apabila disudahi kemas oleh Azan Jasmi.

Beberapa percubaan turut dilakukan Sri Aman FA yang cuba berusaha mendapatkan gol penyamaan termasuk rembatan pemain sayap, Mohammad Iskandar Kumar pada minit terakhir perlawanan namun berjaya dipatahkan penjaga gol Samarahan FA.

Perlawanan tamat dengan keputusan kekal 1-0 berpihak kepada Samarahan FA, menjadikan kedudukan naib johan Piala Sumbangsih milik Sri Aman FA.

Suara Sarawak