TERBUKA LELAKI… Mohamad Duri bergambar kenangan bersama-sama pemenang perlumbaan kategori terbuka lelaki Kalaka Criterium Challenge di Saratok, hari ini. Foto. OSMAN RAZALI

SARATOK: Kalaka Criterium Challenge berupaya menarik minat sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus membolehkan Saratok melahirkan jaguh berbasikal yang ulung pada masa hadapan.

Adun Kalaka Mohamad Duri memberitahu, peluang ini akan membolehkan sukan berbasikal dipromosikan dan diketengahkan dengan lebih hebat.

“Penglibatan persatuan dan kelab berbasikal dari seluruh Sarawak akan dapat meniup semangat anak muda di sini untuk berkecimpung dalam sukan berbasikal dengan lebih hebat.

“Malah, saya yakin tidak mustahil Saratok juga mampu melahirkan jaguh dalam sukan berbasikal seperti tempat lain suatu hari kelak,” katanya kepada Suara Sarawak seusai Kalaka Criterium Challenge edisi sulung di sini, hari ini.

Jelasnya, Kalaka Criterium Challenge akan dijadikan identiti baharu dengan rancangan penganjuran lebih besar pada tahun hadapan.

“Dengan sambutan yang menggalakkan kali ini, Insya-Allah tahun hadapan kita akan anjurkan lagi.

“Kita sudah mempunyai perancangan untuk mengadakannya dalam skala lebih besar di samping pelbagai penambahbaikan terutama menaik taraf jalan sesuai dengan kehendak perlumbaan.

“Apa yang pasti, yang saya dengar daripada mulut peserta mewakili persatuan dan kelab yang berkampung selama dua hari di Saratok, rata-rata mengakui teruja dan ternyata Kalaka Criterium Challenge ada aura tersendiri,” ujarnya.

Untuk penganjuran seterusnya juga, Mohamad dan pasukannya bersedia menerima penyertaan dari negara luar.

Suara Sarawak